
Suami ke kedai kopi main dam
Isteri di rumah jadi petani
Pantun ini ku tujukan khas buat kaum Adam
Sahutlah cabaran ini kalau berani
Jerat tak kena pelanduk pun suka
Janganlah pula di letak tuba
Fikir dahulu secara terbuka
Sebelum membalas pantun hamba
Hendak mencari kasih sejati
Itulah hajat yang paling hakiki
Kajian statistik yang hamba dapati
Wanita lebih setia dari lelaki
Negeri Melaka bandar bersejarah
Keunikkannya menarik hati
Apa taknya kubur isteri masih merah
Dah sibuk-sibuk cari pengganti
Pilu sungguh rasa di hati
Pabila kenangan lama teringat
Sebaliknya pula bagi si isteri
Sanggup keseorangan ke akhir hayat
Baju kebaya dijahit si Nyonya
Dihiasi pula dengan permata
Wahai Adam hamba bertanya
Kenapa anti pemandu wanita?
Anak lembu telah ditambat
Untuk dijadikan sebagai korban
Bukannya kami memandu lambat
Hanya mematuhi setiap peraturan
Dinda masih sayangkan kanda
Walaupun hati telah berpunya
Bukankah itu satu tanda
Kami ini penyabar orangnya
Ke Cameron Highlands petik strawberi
Makan pula dengan durian
Walau apa jua alasan diberi
Juara kemalangan, tetap milik kalian
Buat batas hendak tanam ubi
Pabila masak jual di pekan
Kenapa bab kahwin ikut Nabi
Itu je ke sunah yang ditinggalkan?
Daun lalang dibuat jerami
Hajat hati nak buat katil
Kenapa lelaki suka poligami
Bolehkah kalian berlaku adil?
Hendak membeli sayur kailan
Tapi lama menunggu terbuang masa
Madu hanya manis bagi kalian
Pahitnya wanita yang rasa
Mawar dihinggapi si rama-rama
Hendak ku petik jari terluka
Hamba kagum perkahwinan orang lama
Kekal bahagia walau tanpa cinta
Bunga senduduk pohon meranti
Anehnya berbuahkan kuini
Sekarang, kononnya cinta setengah mati
Tapi mengapa penceraian di sana sini?
Pantai berubah setelah air bah
Cuma batu masih di situ
Setelah berkahwin semua berubah
Mengapa harus jadi begitu?
Hendak memanjat pohon berangan
Sayangnya kaki di sengat lipan
Sebelum kahwin berpegangan tangan
Selepas kahwin, hmm jauh ke depan
Hendak awet muda minum air pegaga
Tapi jangan ditambah gula
Kasih ibu membawa ke syurga
Kasih ayah bagaimana pula?
Waktu bercinta semuanya asyik
Duduk berdua sampai lupa masa
Pantun ini sekadar mengusik
Ampun dipinta kalau ada yang terasa
0 comments:
Post a Comment